Dengan penawaran kod sumber terbuka, kita sedia melihat beberapa versi Android di pasaran hari ini yang dibangunkan oleh komuniti dan pembangun bebas. Kini, sebuah lagi projek seumpamanya sedang dibangunkan dengan fokus terhadap privasi, dinamakan eelo.
eelo dibangunkan oleh pengasas Mandrake Linux – iaitu salah satu sistem operasi desktop berasaskan Linux. eelo merupakan variasi pembangunan berasaskan daripada LineageOS, dan ia ingin memfokuskan terhadap privasi tanpa penyertaan aplikasi
berbentuk pemantauan dan pengumpulan data daripada pihak Google dan sebagainya.
eelo mengatakan mereka akan menawarkan perkhidmatan web alternatif, termasuk untuk emel, storan awan, dan sebagainya – sekaligus membolehkan anda lebih mengawal privasi berbanding penggunaan perkhidmatan Google yang hadir terbina pada Android.
Apakah perkhidmatan yang hadir terbina masih menjadi tanda tanya – tetapi kita mungkin akan dapat melihat penggunaan perkhidmatan seperti F-Droid untuk kedai aplikasi, OpenStreetMaps untuk pemetaan dan sebagainya.
Buat masa ini, eelo sedang mengumpulkan dana untuk menyokong projek mereka melalui Kickstarter. Ia tidak diketahui sama ada projek ini akan berjaya atau tidak, tetapi semestinya ia sesuatu yang menarik untuk melihat pelbagai penawaran variasi berbeza berasaskan Android – sekaligus memudahkan mereka yang berminat memasang ROM berkaitan.