Kamera AES Lebuh Raya PLUS Di Pagoh, Tumbang Buat Kali Kedua Dalam Tempoh 4 Bulan


26 Dis - Kamera Sistem Penguatkusaan Automatik (AES) di Pagoh, Johor, di KM151.4 arah selatan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) rosak lagi. Kejadian ini kembali berulang selepas 4 bulan sebelum ini rosak akibat daripada vandalisma yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

LamanFACEBOOK rasmi Komuniti, Jenayah dan Trafik Johor telah memuat naik gambar yang mana kamera AES itu sekali lagi tumbang dan rosak awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Mohad Idris Samsuri, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi Malay Mail.  


"Kami terima maklumat ini awal pagi tadi dan mendapati kamera AES itu sudah tumbang buat kali kedua di tempat yang sama," kata beliau.

"Kami masih lagi menyiasat punca kamera AES ini tumbang dan tidak menolak kemungkinan berpunca dari gejala vandalisma," jelas beliau.

Tambahnya lagi, polis juga sedang mengenal pasti masa yang tepat kamera ini tumbang. 


Kerosakkan yang pertama berlaku pada bulan 10 September tahun ini apabila suspek menarik keluar wayar kabel daripada dasarnya selepas pihak berkuasa memasangnya pada bulan Jun. Gambar kerosakkan kamera AES itu telah tersebar di laman sosial.

Kamera AES di Pagoh ini adalah perangkap kamera terbaru yang dipasang di lebuh raya buat masa ini.