Masih Ramai Ambil Mudah Untuk Membuat Penamaan Waris- KWSP


ALOR SETAR: Sikap sambil lewa serta tidak memahami kepentingan penamaan waris adalah antara faktor yang menyebabkan masih ramai yang tidak membuat penamaan waris untuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Menurut Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Cawangan Kedah, Mohd Fadzil Md Isa, antara kesalahan besar yang banyak dilakukan oleh ramai pencarum ialah menganggap ahli keluarga atau warisnyaBOLEH menguruskan sendiri tuntutan selepas pencarum meninggal dunia.

amai antara mereka menggunakan konsep 'ahli keluarga pandai-pandailah sendiri' untuk menguruskan tuntutan caruman di KWSP apabila pencarum itu meninggal dunia kelak.

"Apa yang mereka tidak tahu, mereka hanya menyukarkan ahli keluarga mereka untuk menyegerakan tuntutan kerana tanpa penamaan, tempoh penyerahan tuntutan akan mengambil masa yang lebih lama," katanya yang dipetik oleh dari laporan BERNAMA.

Jelasnya, status perkahwinan turut menjadi punca ramai dalam kalanganpencarum yang berlengah daripada urusan penamaan ini.

"Masa bujang, penamaan tidak dirasakan penting kerana tanggungjawab tidak begitu besar dan apabila sudah berkeluarga, sibuk dan tidak ada masa untuk pergi ke pejabat KWSP. Jadi, perkara ini berterusan hinggalah sesuatu terjadi kepada pencarum," katanya.

Bukan itu sahaja, tanggapan bahawa urusan pembahagian wang simpanan di KWSP itu diuruskan secara faraid justeru tidak memerlukan penamaan juga harus diubah.

"Sebagai orang Islam, memang kita digalakkan mengikut sistem faraid dalam pembahagian harta termasuk wang caruman KWSP sekiranya berlaku kematian dan penama berperanan sebagai wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada waris yang berhak.

"Pun begitu, apa yang dilakukan KWSP bagi penamaan ini adalah antara langkah terbaik dalam memudahkan urusan tuntutan.

"Bila ada penamaan waris, semua pihak sudah tahu ke mana atau siapa yang berhak mendapat wang tersebut. Jadi, tidak perlu membuang masa yang lama untuk mencari waris sebelum wang caruman tersebut diagihkan mengikut sistem faraid," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil menyarankan semua ahli keluarga memainkan peranan agar tidak bertangguh dalam melakukan penamaan serta menyebarkan kepentingan penamaan ini kepada generasi muda.

"Konsepnya, seperti anda mengambil insurans. Anda hanya mengetahui kepentingannya apabila sesuatu terjadi kepada diri sendiri atau ahli keluarga anda. Jadi, jangan ambil mudah dalam hal ini," ujarnya,