'Tak salah menari di depan suami dan tetamu' - Mawar


"Pengantin tak tahu malu," demikian respon netizen selepas menonton video Mawar Rashid atau nama sebenar, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Radhid, 22, menari sakan di depan suami dan tetamu ketika resepsi perkahwinan mereka, Jumaat lalu.

Terdahulu, video Mawar menari itu dimuat naik oleh Uqasha Senrose di akaun Instagramnya, mengundang pelbagai reaksi netizen. 

"Habislah! Nanti semakin menjadi-jadi pula trend pengantin perempuan menari camni di depan suami dan penonton," kata Amran.

"Setuju. Dah tak macam dulu. Sekarang ikut trend. Selepas majlis resepsi, si pengantin terkinja-kinja seperti beruk. 

"Nak jadi isteri ni, orang tunjuk skill nak jaga keluarga, maruah suami, jadi teladan anak-anak. Bukan tunjuk skill atas ranjang. Tolonglah perempuan lain jangan buat macam ni. Memalukan. Dah macam jual diri," kata netizen.



Bagaimanapun dalam kenyataan kepada mStar Online, Mawar merasakan tindakannya itu tidak salah dan sedar tidak semua pihak yang boleh menerima perkara yang dilakukannya itu. 

Mawar menegaskan, niat dia hanya ingin meraikan hari bahagia bersama suaminya, Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, atau lebih dikenali sebagai Raff Yaakob. 

"Bukan semua yang kita lakukan orang dapat terima, itu perkara biasa. Saya percaya apa saya lakukan dan tidak pernah memaksa sesiapa pun untuk menyokongnya.

"Tambahan pula tidak salah saya nak menari pada majlis perkahwinan saya dan suami, lagipun malam itu kami ingin meraikan hari bahagia dan mahu semua orang gembira. 

"Takkan hendak bersedih pula. Betul atau salah, saya tetap dengan pendirian saya. 

"Sudah lama saya bayangkan hendak menari di majlis persandingan sendiri dan setiap langkah tarian itu juga saya reka sendiri mengikut kesesuaian. 

"Kalau sesiapa yang mengikuti perkembangan karier saya, mereka tahu memang saya gemar menari," katanya. 


Sementara itu, suaminya, Raf Yaakob berkata, perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana tarian isterinya tidak melampaui batas. 

"Tarian tersebut tidak ada gerakan berbaur seksual pun, hanya tarian biasa sahaja dan tidak sepatutnya dijadikan isu pun. 

"Tapi segala komen negatif netizen tidak memberi kesan kepada kehidupan kami," katanya.