TURKI SINDIR UAE, UBAH NAMA JALAN DEPAN KEDUTAAN KEPADA FAHREDDIN PASHA


ISTANBUL, 6 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Turki merancang menukar nama jalan yang menempatkan kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Angkara, kepada nama Fahreddin Pasha, seorang tokoh bersejarah Empayar Uthmaniah yang disegani di Turki, sebagai tindak balas kepada tuduhan menteri UAE.
Tindakan itu dibuat ditengah-tengah ketegangan hubungan diplomatik Angkara-Abu Dhabi, susulan tindakan Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed al-Nahyan yang mengulang tweet minggu lalu, menuduh tentera Uthmaniah diketuai Fahreddin Pasha mencuri wang dan manuskrip dari Madinah pada 1916 ketika Perang Dunia Pertama, tatkala bandar itu berada di bawah pemerintahan Uthmaniah.
Agensi berita Anadolu semalam melaporkan, Datuk Bandar Ankara, Mustafa Tuna mengeluarkan perintah supaya pihak berkuasa membuat persiapan bagi penukaran nama jalan itu kepada nama Fahreddin Pasha yang juga pernah menjadi Gabenor Madinah.
Abdullah sebelum in mengulang tweet menuduh Fahreddin Pasha, Gabenor
Madinah di bawah Empayar Uthmaniah dari 1916 hingga 1919, telah melakukan jenayah seperti mencuri, vandalisme dan penculikan terhadap penduduk tempatan.
Kata Abdullah:
“Adakah anda tahu Turkish Fakhri Pasha melakukan jenayah terhadap penduduk di bandar Rasulullah, mencuri wang mereka, menculik mereka dan penumpang kereta api ke Damascus […]. Orang Turki juga mencuri kebanyakan manuskrip dari Perpustakaan Mahmudiyah di bandar itu dan menghantarnya ke Turki. Ini adalah nenek moyang Erdogan dan sejarah mereka dengan umat Islam Arab.”
Fahreddin Pasha yang lebih dikenali sebagai Fakhri Pasha, adalah legenda terkenal di Turki dan diiktiraf sebagai wira perang dan individu yang mempertahankan Islam.
Beliau lebih dikenali kerana mempertahankan Tanah Suci Madinah ketika Perang Dunia Pertama, ketika British dan sekutu Arabnya melakukan pengepungan ke atasnya – sebahagian daripada Revolusi Arab menentang Empayar Uthmaniah.
Malah, sehingga ke hari ini ia masih menjadi titik ketegangan di antara beberapa puak Arab dan Turki.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, tanpa menyebut nama, menyifatkan menteri UAE itu sebagai jahil. Malah, Kementerian Luar Turki juga memanggil pegawai kedutaan UAE untuk memberi penjelasan berhubung isu itu.
UAE, sekutu rapat Amerika Syarikat (AS), melihat Erdogan sebagai rakan kepada kumpulan negara Arab yang ditolak oleh Abu Dhabi. Hubungan juga tegang apabila Turki menyokong Qatar yang dikenakan sekatan oleh Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir.
Jurucakap kepada Erdogan, Ibrahim Kalin ketika mengulas isu itu berkata, UAE menyebarkan propaganda untuk memecahbelahkan dan membuatkan Arab dan Turki saling bercakaran.
Isu itu sekarang ini menjadi faktor terbaharu ketegangan hubungan diplomatik antara Turki dan UAE. – Agensi