HANYA INI BAKTI BUAT AYAH


BERANANG Penat macam mana pun, saya mesti lari jenguk ayah sekejap sebab dia amanah dan tanggungjawab saya, kata M Azren, 45, anak sulung kepada warga emas yang hidup sendirian sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurut Azren, bapanya, Abdul Moulud Hussin, 70, menetap sendirian di rumah yang terletak di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, di sini manakala mereka tiga beradik yang sudah berumah tangga tinggal berasingan.
Balik kerja saja, inilah tempat pertama saya tuju, isteri pun sudah faham.
Biasanya saya akan uruskan keperluan ayah termasuk membelikan makanan, membasuh pinggan mangkuk dan mengangkat air di sungai.
Dulu sebelum terlantar diaBOLEH mandi sendiri, tapisekarang hanya dilap dengan tuala basah, katanya ketika ditemui pada program gotong-royong amal Pertubuhan Gagasan Prihatin Semenyih (GPS) dan Persatuan Bomba Sukarela Beranang di rumah bapanya, di sini.
Sampah-sarap dan barangan tidak terpakai sejak lebih tiga tahun lalu itu antaranya plastik, akhbar lama, botol plastik, tilam dan bantal buruk, meja uzur dan pakaian dibuang menggunakan lori muatan satu tan milik penduduk kampung.
Menurutnya, dia pernah menyuarakan hasrat mengemas rumah berkenaan namun bapanya enggan barangan berkenaan dialihkan hingga lama-kelamaan menjadi timbunan sampah.
Bukan saya tak mahu membawa ayah menetap bersama, tetapi saya sudah berkeluarga dan tinggal bersama ibu mentua di Kampung Paya.
Sebagai anak, hanya inilah saja mampu saya lakukan buat ayah memandangkan saya bukan orang senang, malah demi menghormati permintaannya, tak pernah sekalipun saya berani mengusik barangannya di rumah ini.
Saya juga pernah banyak kali ajak ayah pergi hospital, namun dia enggan kerana seumur hidupnya memang tak pernah ke hospital, katanya yang bekerja sebagai pemotong rumput di Nilai, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Abdul Moulud berkata, ketiadaan masa dan keupayaan membuatkan dia tidak mampu mengemas rumah sendirian hingga mengakibatkan rumah itu semakin hari menjadi timbunan sampah.
Dulu saya sibuk cari rezeki dari pagi sampai malam. Kini, apabila terlantar, saya tidak larat.
Saya lega dan terharu lihat rumah ini kembali bersih dan berseri. Terima kasih kepada penduduk kampung dan GPS yang membantu mengemas dan membersihkan rumah ini, katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia berniaga kelapa dan anak benih sayuran secara kecil-kecilan di Jalan Besar di sini sejak 2015 untuk menyara hidupnya selepas berhenti bekerja dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Saya dan bekas isteri bercerai hidup sejak puluhan tahun lalu. Semua anak saya membesar bersamanya.
Bagi menyara hidup, setiap hari saya berulang sejauh 2 kilometer (km) dengan motosikal untuk berniaga dengan pendapatan sehari tidak menentu antara RM20 hingga RM30 sehari kadangkala langsung tiada.