Hikmah Daripada Isu Panggilan Hangit, Zairi Zainal Terima Tajaan Basikal Baru Dan Kelengkapan Baju Baru


20 Dis - Isu yang melanda radio popular, Hot FM dan penunggang basikal, Zairi Zainal yang dikatakan tidak sensitif program panggilan hangit dianggap selesai apabila pihak stesen radio swasta tersebut mengeluarkan kenyataan maaf menerusi kemaskini status di laman rasmi Facebook radio tersebut semalam.


Menurut kemaskini tersebut, pihak Hot FM dengan rendah diri memohon maaf dan mengakui kesilapan mereka. Mereka juga mengatakan tidak berniat untuk menyakiti mana-mana pihak.

“Merujuk kepada pengisian Panggilan Hangit yang disiarkan, pihak pengurusan Hot FM ingin memohon maaf kepada semua pendengar yang terkesan atas siaran tersebut," katanya

Menerusi program Panggilan Hangit tersebut, Zairi menerima panggilan yang kononnya ingin menaja ekspedisi menjelajah seluruh semenanjung Malaysia secara berbasikal.

“Hot FM tidak mempunyai sebarang niat untuk mengaibkan dan menyinggung mana-mana pihak. Isi kandungan adalah berdasarkan permintaan yang telah dicadangkan kepada kami,” ujar mereka.

Mengikut perancangannya, Zairi akan melawat 320 masjid dan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, penajaan tersebut hanyalah sekadar gurauan dan rata-rata pendengar mengecam sifat tidak sensitif Hot FM menyiarkan panggilan tersebut.

Di Facebook Zairi pula, beliau turut mengeluarkan kenyataan penerimaan maaf secara terbuka dan meminta agar orang awam tidak meneruskan kecaman terhadap Hot FM.



Diberitakan pagi tadi, Zairi dijemput menghadiri segmen Geng Pagi Hot FM yang dikendalikan oleh penyampai Shuk, Fizie dan Issey.

Menerusi undangan tersebut, pihak Hot FM menghadiahkan Zairi sebuah basikal bagi meneruskan impiannya untuk menjelajah Semenanjung Malaysia secara solo.

Rentetan dari isu ini juga, dalam laman Facebook Zairi, beliau memuat naik beberapa keping gambar, beliau menerima tajaan baju dan seluar cycling yang ditaja oleh sebuah kedai basikal Ciclista sebentar tadi.