(Video) Empat Jam Tunggu Tak Datang, Sidang Media Penjelasan Bapa Murid Kes Saman Cikgu Azizan Dibatalkan


Media semalam melaporkan bahawa bapa kepada murid yang terbabit dalam kes pendakwaan Cikgu Azizan akan membuat sidang media pada hari ini bagi memberi penjelasan.

Begitupun, media yang menunggu di lokasi yang dijanjikan pada hari ini hampa apabila kelibat lelaki berusia 50 tahun yang enggan dikenali itu tidak kunjung tiba.

Semalam, bapa kepada pelajar tersebut memberitahu wartawan bahawa akan mengadakan sidang media di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan antara jam 9.30 hingga 10 pagi, hari ini.

Berdasarkan maklumat tersebut, lebih daripada 20 ahli media berkumpul di lokasi yang yang dimaklumkan oleh lelaki itu sejak jam 9 pagi lagi. Namun selepas hampir 4 jam menunggu, mereka diberitahu oleh lelaki berkenaan bahawa dia sudah mengubah fikiran kerana keluarganya masih lagi tertekan dengan keadaan semasa.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Seremban semalam membebaskan Azizan Manap, 44, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak daripada pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Mohd Zaki Abd Rahman selepas menerima makluman daripada Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhamad bahawa pihak pendakwaan menerima arahan Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan terbabit.

Menurut pertuduhan tersebut, Azizan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecedaraan pada pipi kiri seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun di hadapan tapak perhimpunan sekolah terbabit pada jam 7 pagi, 6 April lalu.