HIPOKRASI ULTRA KIASU TAHAP GABAN

SAYA hanya ketawa beruk apabila baru-baru ini, pegawai Melayu ultra kiasu yang bekerja di pejabat Ketua Menteri ultra kiasu berkata, Pulau Pinang adalah antara negeri yang tidak pernah menghalang ceramah agama di masjid dan surau, malah akan membenarkan Presiden PAS sendiri berceramah selama tidak memfitnah.
Jelas beliau lagi, Pulau Pinang tidak seperti negeri tertentu di Malaysia yang menyenaraikan penceramah agama untuk berdakwah di Pulau Pinang. Ternyata begitu terserlah hipokrasinya.
Apabila Jabatan Agama Islam selain negeri ultra kiasu mengeluarkan arahan tidak membenarkan beberapa penceramah berceramah di negeri mereka, maka heboh 1Malaysia. Begitu juga beberapa ahli politik dan aktivis yang tidak dibenarkan masuk ke Sabah dan Sarawak.
Ultra kiasu ini menuduh Jabatan Agama Islam dan kerajaan yang bukan-bukan seperti bersikap tertutup, takut dengan bayang-bayang dan macam-macam lagi. Tetapi, bagaimana pula jika mereka yang mereka yang melakukan perkara yang sama? Mengatakan dulang paku serpih, mengatakan orang dia yang lebih.
Inilah yang berlaku kepada diri saya ketika menerima jemputan sebagai panel forum daripada Sekolah Menengah Agama Maahad al-Mashoor, Pulau Pinang yang sepatutnya berlangsung pada 28 Oktober lalu. Bersusah payah penganjur menempah tarikh dan menjemput saya dua bulan sebelum.
Tiba-tiba tidak sampai dua minggu sebelum majlis, tangan-tangan jahat ultra kiasu memaksa dan mendesak penganjur membatalkan forum hanya kerana pembabitan saya dalam bicara forum tersebut. Selama ini saya ingatkan ultra kiasu di Pulau Pinang ini bersifat terbuka kerana mereka sering menuduh UMNO (BN) tertutup.
Pada mulanya, pihak penganjur mahu mengadakan di kawasan sekolah al-Mashoor sahaja. Tetapi oleh kerana sambutan yang sangat menggalakkan, mereka telah mengambl inisiatif memindahkan lokasinya ke masjid negeri Pulau Pinang iaitu institusi di bawah kuasa kerajaan
negeri.
Forum bertujuan mengumpul dana bagi membantu sekolah itu. Saya pasti penganjur berasakan aura ada di situ bagi menarik khalayak untuk hadir dan seterusnya membantu mengumpul dana sebanyak mungkin.
Segala persiapan telah dibuat dengan rapi termasuk memasang lebih 20 banner dan ribuan poster di sekeliling kota untuk meuar-uarkan kepada khalayak. Rupanya mata ultra kiasu sangat galak. Nampak sahaja nama Ridhuan Tee, mereka telah menghubungi Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan memberitahu kepada orang kuat yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam.
Begitu cepatnya ultra kiasu tersebut melatah, terus memberi amaran dan mengarahkan kepada Jabatan Agama supaya memberikan amaran kepada penganjur bagi membatalkan program tersebut. Jika program diteruskan juga, Melayu ultra kiasu itu juga mengancam akan menangkap saya kerana mengajar tanpa tauliah.
JAIP memberi respon kepada ultra kiasu Melayu tersebut bahawa saya mempunyai tauliah mengajar dan ini bukan kali pertama saya berceramah di Pulau Pinang. Ultra kiasu Melayu itu tidak peduli. Paling penting Ridhuan Tee tidak datang. Jika datang akan ditangkap. Di sinilah kejayaan besar ultra kiasu memperalatkan orang agama iaitu Melayu ultra kiasu untuk kepentingan mereka.
Saya berkata kepada pihak penganjur agar teruskan sahaja program tersebut. Saya nak tengok, berani atau tidak mereka menangkap saya. Saya bukan penyebar ajaran liberal. Jauh sekali membawa ajaran sesat. Saya hanya akan bercakap dalam tajuk yang diberikan iaitu mengenai hijrah Baginda SAW dan kaitan dengan kehidupan hari ini.
Langsung tidak ada kaitan dengan politik. Kenapa ultra kiasu perlu takut dengan bayang-bayang. Lagipun, segala persiapan rapi telah dibuat. Kasihan kepada pelajar-pelajar dan hadirin yang begitu teruja menanti kehadiran saya.

Selama ini ultra kiasu menganjurkan program, begitu ramai kumpulan liberal dipanggil, kenapa saya yang sudah terang lagi bersuluh ingin menyampaikan amar makruf nahi mungkar, tidak dibenarkan untuk berceramah, sedangkan mereka yang begitu liberal dan sesat dibenarkan memberikan berceramah mengenai Islam, atas dasar ketua mereka adalah bapak kepada ultra kiasu.
Ke mana kita mahu membawa umat Islam di Pulau Pinang. Bertambah liberal atau ke arah memahami Islam yang lebih syumul. Saya mencabar ultra kiasu, datang ke ceramah saya itu. Jika ternyata, ceramah saya menghasut atau menggalakkan perpecahan atau rasis, maka ketika itu tangkaplah. Saya merelakan. Jangan mangsakan orang lain, hanya kerana mahu melunaskan dendam yang belum terbalas.
Saya amat yakin pembatalan ini dibuat ada kaitan dengan tulisan saya selama ini yang kerap menyerang dan mendedahkan tembelang ultra kiasu. Saya yakin, khalayak mula membuka mata. Saya tidak ada masalah langsung dengan pembatalan ini. Banyak lagi tempat yangBOLEH saya pergi. Dunia kurniaan Allah SWT terlalu luas untuk dinikmati.
Cuma saya terkilan dan kasihan dengan pihak menganjur iaitu Sekolah al-Mashoor. Betapa hancur luluh hati mereka apabila mendapat berita daripada JAIP meminta penampilan saya dibatalkan, setelah semua persiapan dibuat termasuk membeli tiket penerbangan dan penginapan.
Sebelum ini, ultra kiasu mengeluarkan kenyataan, negeri mereka sangat terbuka. Apa yang perlu takutkan dengan Ridhuan Tee. Dia hanya insan kerdil, seorang mualaf yang tidak ada apa-apa. Namun, khalayak dahagakan penampilannya. Hina sungguh ultra kiasu jika merasakan bahawa dengan penampilannyaBOLEH mengubah fikiran pengikut mereka.
Peliknya, mereka tidak pernah sensitif dengan program liberal yang dianjurkan di negeri ultra kiasu itu. Ini termasuk menayang filem LGBT, menganjur pesta arak dan pelbagai maksiat lagi. Saya sangat teruja mendengar ucapan pemimpin ultra kiasu Pulau Pinang mengenai Oktoberfest atau pesta arak. Katanya, Pulau Pinang tidak ada masalah dengan arak, sebab kami bukan negara Taliban.
Hairan pula kenapa ultra kiasu Melayu yang menjaga hal ehwal Islam berdiam diri. Bacul sungguh bila mana agama Islam dihina, kita berdiam diri. Wang ringgit mengaburi mata.
Kepada ultra kiasu Melayu yang sudah dikelabui mata dengan jawatan dan wang ringgit, hentikanlah sandiwara dan hipokrasi ini. Ultra kiasu mereka mungkin boleh mengaburi mata ahli-ahli mereka dan mereka yang boleh digula-gulakan, dengan kenyataan yang manis-manis betapa baik dan terbukanya mereka.
Tetapi bukan saya dan masih lagi ramai di luar sana tahu tembelang ultra kiasu. Saya harap rakyat marhaen dapat membuka mata dengan sandiwara mereka hipokrasi tahap gaban. Saya akan terus mendedahkan tembelang ultra kiasu sampai bila-bila kerana saya tahu betapa hipokritnya mereka.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).