"Kami Hanya Tahu Selepas Pendedahan Akhbar," Ahli Lembaga Pengarah Felda Tak Tahu Perihal Pindah Milik Tanah


JOHOR BAHRU: Ahli Lembaga Pengarah Felda tidak dimaklumkan mengenai pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Menurut Samsudin Othman selaku Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, ahli lembaga pengarah hanya diberi taklimat tentang cadangan pembangunan di tanah utama itu oleh pengurusan Felda yang terdahulu.

Beliau menyatakan ini termasuk butiran mengenai kompenan pembangunan termasuk hotel bertingkat yang dapat menjana pendapatan bagi Felda.

"Ahli lembaga pengarah telah memberi kelulusan (untuk projek itu) tetapi kami tidak dimaklumkan mengenai siapa individu di sebaliknya (pemindahan hak Miliz tanah),” kata Samsudin yang dipetik dari laporan mStar Online.

Samsudin merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah agensi itu dan Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) mewakili seramai 112,635 peneroka dari 317 tanah rancangan Felda seluruh negara.

Jelas beliau, mereka tidak tahu individu di sebalik projek pemindahan hak milik tanah selain maklumat berkaitan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dan kelulusan yang diberikan.

“Pengurusan Felda yang terdahulu tidak telus dalam membuat keputusan perniagaan atau melakukan sesuatu,” jelasnya.

Beliau berkata mereka hanya mengetahui mengenai perjanjian tanah di Jalan Semarak itu daripada laporan akhbar.

Katanya, ahli lembaga pengarah akan membantah projek itu jika ia diketahui lebih awal.

Felda berdepan risiko kehilangan hak ke atas kawasan strategik dianggarkan bernilai lebih RM200 juta di pusatBANDAR raya berikutan dipercayai berlaku transaksi pindah milik tanah mencurigakan sejak 2015