LAPORAN KESAN ALAM SEKITAR HSR DIPAMERKAN HARI INI


Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sudah siap dan akan dipamerkan hari ini.
Laporan itu akan dipamerkan di pelbagai lokasi, termasuk ibu pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di KL Sentral, ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya dan pejabat JAS negeri di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta pejabat pihak berkuasa tempatan lain di sepanjang jajaran HSR.
MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) dalam satu kenyataan hari ini berkata, laporan EIA akan dipamerkan selama sebulan,
iaitu bermula 27 Disember hingga 25 Januari 2018 dan orang ramai digalakkan mengemukakan maklum balas serta komen.
Orang ramai jugaBOLEH melihat laporan itu di laman web JAS,www.doe.gov.mydan laman web rasmi MyHSR Corp diwww.myhsr.com.my.
Sebarang maklum balas dan komen boleh diserahkan kepada ibu pejabat JAS sebelum 9 Februari 2018.
MyHSR berkata, laporan EIA yang disediakan Minconsult Sdn Bhd, diserahkan kepada JAS untuk kajian pada 13 Disember lalu.
Kajian EIA itu meliputi pelbagai penilaian termasuk kualiti udara dan air, bunyi dan getaran, sisa buangan, hidrolik pantai, ekologi laut dan darat, hidrologi, geologi, lalu lintas, penilaian risiko bahaya, kesihatan dan keselamatan awam, penilaian ekonomi serta visual.
Kami menggariskan langkah perlu untuk menangani dan mengurangkan kesan berpotensi di semua fasa projek meliputi pra-pembinaan, semasa pembinaan dan operasi.
Kami mengalu-alukan orang ramai memberi maklum balas terhadap penelitian laporan EIA. Laporan itu kemudiannya akan dikemas kini untuk memasukkan maklum balas yang diterima daripada paparan awam dan dibentang serta dipertimbangkan untuk kelulusan JAS, kata Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.
Laporan EIA itu disediakan mengikut undang-undang berkaitan, garis panduan dan prosedur ditetapkan JAS untuk kajian kesan alam sekitar terhadap mana-mana projek kereta api baharu.
Selain tempoh paparan awam, salinan laporan ituBOLEH dibeli pada harga RM4,000 setiap salinan di pejabat Minconsult di Petaling Jaya.
Projek HSR sepanjang 350km itu merangkumi 8 stesen, iaitu Bandar Malaysia di KL, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh di Melaka serta Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Johor dan stesen Jurong East di Singapura.
Perkhidmatan kereta api yang disasar mula beroperasi pada 31 Disember 2026 itu mampu mengurangkan masa perjalanan antara KL dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan kereta api lebih 300km sejam.
Julai lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, projek itu menelan belanja RM50 hingga 60 bilion.
Bagaimanapun, ada penganalisis berkata, kosnya mungkin meningkat sehingga RM77 bilion.-FMT