"MALAYSIAN MALAYSIA" DAP LAGI BAHAYA, KATA DR KAMARUL ZAMAN


SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini ditempelak kerana menyalahlah tafsir pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pelantikan Perdana Menteri dan anggota kabinet yang kini sedang dirancang oleh Pakatan Harapan walaupun tarikh PRU14 belum diumumkan.
Guan Eng yang tidak teliti dengan kenyataan sebenar Hadi menuduh pandangan Presiden PAS itu sebagai amat merbahaya, ekstremis, rasis, tidak berperlembagaan dan cuba menghasut rakyat negara ini di samping mengaitkannya seperti amalan puak Taliban.
Setiausaha Agung
DAP membuat komen itu secara melulu selepas memetik kenyataan Hadi yang dilapor secara salah oleh sebuah akhbar tempatan bertajuk PAS president: All-Malay cabinet members for Malaysia (Presiden PAS: Ahli Kabinet Melayu untuk Malaysia).
PAS dalam kenyataannya memberitahu tidak ada satu pun ayat dan huraian (kenyataan) yang dibuat oleh Presiden PAS dalam artikelnya pada 22 Disember lepas yang menyatakan bahawa semua anggota Kabinet mestilah terdiri dari kalangan orang Melayu muslim.
Bahkan, Abdul Hadi turut mengakui dan mengiktiraf kedudukan serta peranan bukan Islam dalam sesebuah kerajaan, kata kenyataan itu.
Sementara itu Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan perjuangan 'Malaysian Malaysia' oleh DAP jauh lebih merbahaya, lebih ekstrim, menghasut dan tidak berperlembagaan.
Malah katanya sukar dibayangkan masa depan Malaysia jika DAP memerintah kerana sekarang pun Guan Eng sudah berani menyanggah apa yang disebut oleh ulama fiqh politik Islam mengenai adab melantik pemimpin, katanya yang dipetik daripada Harakahdaily semalam.
Menurut Kamarul Zaman, matlamat DAP ialah untuk mensekularkan Malaysia, menghapuskan perbezaan antara "Bumiputera" dan "bukan Bumiputera."
Perkara itu bukan sahaja menghasut malah bercanggah dengan erlembagaan persekutuan, khasnya Perkara 3 dan Perkara 153, ujar Pengarah Institut Penyelidikan Politik, Universiti Utara Malaysia itu.
Katanya, selain itu DAP mahu memulihkan pilihan raya tempatan, yang masih menjadi agenda perjuangannya walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan dengan jelas pada 14 Ogos 2014 bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan negara.
Sebelum ini Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang juga didakwa memutarkan belitkan kenyataan Hadi berhubung jawatan calon Perdana Menteri yang dikatakan turut diminati oleh pemimpin DAP.
Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan menyatakan tiada di mana-mana perenggan dalam tulisan Abdul Hadi yang menyebutkan bahawa menteri kabinet hanya diisi oleh orang-orang Melayu Islam.
Kata Kamarul Zaman, intipati sebenar tulisan Hadi adalah menjurus kepada persoalan melantik ketua kerajaan (Perdana Menteri) yang mengikut beliau, mestilah datang daripada penganut Islam.
Apa yang mahu ditunjukkan Abdul Hadi, kata Kamarul Zaman, pemimpin Islam akan turut melantik golongan bukan Islam sebagai anggota kabinet dan bukan seperti golongan sekular di pelbagai tempat lain yang hanya memilih kaum mereka sahaja.