PUSAT TUISYEN BARAKAH KEDAH 2018 BANTU 2,000 PELAJAR HADAPI PEPERIKSAAN


ALOR SETAR - Pusat Tuisyen Barakah Kedah 2018 yang dijangka bermula Februari tahun depan pastinya akan memberi manfaat bermakna kepada 2,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting tahun hadapan.
Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad berkata, program tersebut ternyata memberi impak yang positif kepada pelajar.
Malah bilangan yang menyertai program
itu kali ini bertambah sebanyak 800 pelajar berbanding 1,200 pelajar sebelum ini.
Selain itu, program tersebut turut memberi peluang kepada pelajar kurang bernasib baik untuk meningkatkan kecemerlangan mereka.
"Baru-baru ini, Menteri Besar mengumumkan dalam Bajet Kedah 2018 bahawa Pusat Tuisyen Barakah akan diteruskan dan diberi tambahan kepada 2,000 pelajar dengan peruntukan RM500,000 berbanding RM300,000.
"JPN akan terus berkerjasama untuk menjayakan program ini agar dapat melahirkan lebih ramai generasi yang berkualiti dan menjadi pelapis kepimpinan pada masa depan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pelajar UPSR Pusat Tuisyen Barakah Kedah di Wisma Darulaman di sini, semalam.
Pada majlis itu, seramai 36 murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima sijil penghargaan serta wang tunai yang disampaikan Pengerusi Gabungan Pelajar Semenajung Malaysia (GPMS) Kedah Shamsul Bahar Abd Rani.
Pusat Tuisyen Barakah adalah agenda Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sejak 2016, yang bertujuan meningkatkan pencapaian akademik pelajar selain melakar kecemerlangan dalam bidang pendidikan di negeri Kedah.
Ia membabitkan 15 kawasan Parlimen dan tumpuan diberikan kepada pelajar yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan selain pelajar yang dikenal pasti berpotensi dalam pelajaran.
Sementara itu, pelajar Muhammad Aiman Khalid, 12, yangmenyertai tuisyen Barakah di Sekolah Permatang Tok Dik, Kulim ternyata berpuas hati dengan program itu kerana ia sangat membantunya dalam meningkatkan pemahaman dalam sesuatu subjek yang dipelajari.
Dia yang memperoleh 4A dan 2B dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini, berkata tempoh belajar dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari membolehkan mereka mengulang kaji pelajaran sehingga benar-benar faham.
Ain Nadirah Harun, 12, pula berkata peluang yang diberikan oleh kerajaan negeri itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu mendapat keputusan yang cemerlang.
"Tidak kiralah peperiksaan apa sekalipun, yang penting gunalah kesempatan yang diberi jika dipilih kerana banyak manfaat.