MYANMAR DIPELAWA SERTAI LATIHAN TENTERA DI THAILAND


WASHINGTON - Tentera Myanmar yang dikritik hebat dan dituduh melakukan pembersihan etnik ke atas penduduk Islam Rohingya, bakal menyertai latihan tentera bersama
Amerika Syarikat dan Thailand, tahun depan.

Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Christopher Logan, berkata jemputan kepada Myanmar untuk menyertai latihan tahunan Cobra Gold sebagai pemerhati, dikemukakan oleh Thailand.
Selain Amerika Syarikat dan Thailand, latihan itu turut disertai pasukan tentera dari negara Asia lain.
"Myanmar dijemput sebagai pemerhati bantuan kemanusiaan dan bencana sepanjang latihan itu," kata Logan kepada Reuters.
Pegawai kanan Direktorat Perisikan Bersama Pasukan Tentera Diraja Thailand ketika dihubungi Reuters, berkata beliau tidak tahu sama ada Myanmar sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai latihan itu.
Namun, katanya, Thailand memang mengalu-alukan penyertaan pasukan tentera dari negara itu.
Mengulas tindakan Bangkok menjemput Myanmar di sebalik isu keganasan terhadap Rohingya, beliau berkata: "Perkara itu tidak disentuh langsung dalam perbincangan. Kami tidak menyentuh langsung mengenai isu itu (Rohingya).
"Kami hanya memberi tumpuan kepada latihan, pendidikan dan kerjasama tentera.
"Jadi, kami mahu Myanmar turut serta dalam latihan ini. Ia (Rohingya) adalah politik. Kami adalah tentera dan ini adalah latihan tentera".
Pada masa sama, tentera Myanmar yang dihubungi tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan. - Reuters