BAITULMUQADDIS Israel mengumumkan
keluar daripada agensi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) atas alasan sikap berat sebelah anti-Israel dan serangan sistematik yang diterima negara itu.
Jurucakap Kementerian Luarnya, Emmanuel Nahshon berkata, keputusan itu berdasarkan kepada percubaan agensi itu untuk memutuskan sejarah Yahudi daripada tanah Israel.
Beliau berkata, surat rasmi untuk menarik diri daripada agensi itu akan dikemukakan sebelum akhir tahun ini dan Israel akan meninggalkan organisasi tersebut menjelang akhir tahun 2018.
Awal tahun ini Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menarik balik penyertaan dari UNESCO atas alasan yang sama.
Israel sering menyebut tentang kecenderungan anti-Israel dalam organisasi PBB di mana Israel dan sekutu-sekutunya diatasi oleh negara-negara Arab dan penyokong mereka.
Resolusi agensi itu baru-baru ini mendapat kritikan rakyat Israel yang melihatnya sebagai cubaan mengurangkan hubungan penganut Yahudi dengan Baitulmuqaddis dan kota Hebron. AP