Kehilangan anak yang tersayang selepas melihatnya bertarung nyawa melawan penyakit sememangnya menyedihkan. Tiada kata mampu terucap namun kesedihan tidak mampu ditanggung sendiri.
Kerana tidak mampu menyimpan kesedihan itu, seorang ibu berkongsi kesedihan yang dialami melalui sehelai catatan. Sebak rasanya apabila ibunya berkongsi saat-saat akhirnya anaknya.
Kisah ini telah dikongsi oleh Iskandar Syah Ismail, atau lebih dikenali sebagai doktor badut yang kerap menghiburkan kanak-kanak yang menghidap kanser di Hospital Sultan Ismail. Takziah kami ucapkan buat keluarga arwah Izzul Hanif.
Minggu lepas ketika bertandang ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru kami menerima 'goodie bags' daripada Puan Rafidah Abdullah, ibu arwah adik Amirul yang pernah kami hiburkan di wad kanser kanak-kanak HSI.
Goodie bags itu diagih-agihkan sempena majlis tahlil yang diadakan di wad oleh para ibu bapa pesakit pada setiap bulan, bagi memperingati anak-anak pesakit kanser yang telah meninggal dunia.
Bulan ini kami tidak dapat menyertainya kerana pertindihan jadual. Namun goodie bags itu masih disimpan oleh Puan Rafidah untuk kami, the clowns sebagai tanda kenangan. Terima kasih banyak-banyak!
Hanya malam tadi saya baru sempat membukanya. Di dalamnya ada cenderahati berupa bungkusan tuala kecil dan pinggan plastik serbaguna.
Apabila saya membuka bungkusan tuala itu, terdapat sehelai kertas yang dilipat kemas.
Lantas saya membukanya. Sangkaan saya ia kertas doa tahlil yang biasa diedarkan semasa majlis tahlil. Tekaan saya silap!
Rupa-rupanya ia adalah catatan ibu bapa seorang pesakit kanak-kanak bernama Izzul Hanif mengenai detik-detik akhir pemergian anaknya pada bulan Ogos yang lalu.
Ia sungguh mengharukan hati.